I just found out my long time neighbour/friend during my childhood already passed away....
Inalillahh.......Pelatih PLKN meninggal ketika solat
|
|
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) meninggal dunia ketika mengerjakan solat di kem PLKN di Rimba Templer dekat sini, semalam.
Syed Rahman Wan Ahmad, 18, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, meninggal dunia kira-kira pukul 1.45 petang.
Allahyarham sebelum ini dikatakan tidak menghidap sebarang penyakit dan berada dalam keadaan sihat.
Bapanya, Wan Ahmad Wan Yassin, 50, ketika ditemui di Kem Sungai Besi di sini berkata, dia sekeluarga terkejut sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kematian anaknya.
Katanya, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda aneh selain melahirkan rasa seronok dan selesa berada di kem berkenaan.
"Kali terakhir arwah menghubungi kami sekeluarga pada Ahad lalu dan menyatakan dia berada dalam keadaan baik serta seronok tinggal di kem terbabit.
"Saya tidak sangka dia akan meninggalkan kami dengan begitu cepat," katanya yang akan membawa pulang jenazah anaknya ke Sabah, hari ini.
Wan Ahmad turut berpuas hati dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan berterima kasih terhadap pihak pengurusan yang sanggup menanggung perjalanan pergi dan balik keluarganya.
Selain itu, rakan Allahyarham, Aminuddin Basir, 17, ketika ditemui berkata, arwah merupakan seorang yang sangat ramah dan baik hati.
"Walaupun baru beberapa minggu menyertai latihan di PLKN, arwah sudah dikenali ramai kerana keramahannya dengan semua pelatih di kem," katanya ketika ditemui di Masjid Kem Sungai Besi di sini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berharap tiada sesiapa yang akan menimbulkan spekulasi.
Beliau berkata, berdasarkan rekod kesihatan dan perubatan arwah, dia berada dalam keadaan sihat serta tidak mempunyai sebarang penyakit.
"Setiap peserta PLKN dilindungi insurans yang bernilai RM55,000, bagi melibatkan kematian biasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan punca kematian dipercayai akibat sawan.
"Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan tiada unsur-unsur jenayah dilaporkan berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment